Monday, October 3, 2011

Elak kemarahan kuasai diri


ORANG yang lekas marah ialah orang yang tidak sabar dan apabila kurang sabar, selalunya kita akan cepat marah. Akibatnya, banyak perkara dilakukan atau keputusan dibuat didorong emosi bukan rasional akal fikir kita.

Rasa marah bukan saja kepada mereka yang ada di sekeliling kita disebabkan pelbagai punca, malah perasaan itu turut ditunjukkan kepada Allah terutama apabila kehendak dan permintaan tidak dipenuhi selepas puas berdoa memohon.

Ubat marah ialah sabar tetapi apabila apabila hendak marah juga kita akan kata, sabar memang sabar tetapi ada hadnya. Itulah kita manusia yang sentiasa berdepan dugaan dan bagaimana kita menghadapinya yang membezakan kita dengan orang lain

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Berwasiatlah kepadaku. Lalu Nabi SAW menjawab: Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah. Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi SAW menjawab: Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Berbeza dengan kebanyakan kita, apabila ada yang cuba mententeramkan jiwa yang sedang bergolak dengan perasaan marah, rasa itu bukan semakin berkurangan, sebaliknya terus membara hingga api kemarahan sukar dikawal.

Perubahan gaya hidup hari ini tidak dinafikan lebih mencabar berbanding dulu kerana masa yang bergerak pantas menuntut kita terkejar-kejar. Akibatnya, banyak benda membuatkan kita mudah dicuit rasa marah.

Kesesakan lalu lintas, buat kita marah. Beratur panjang untuk membayar bil, membeli makanan atau berurusan di bank juga selalu menimbulkan rasa hendak marah. Boleh kata, jika tiada kesabaran, agaknya kita asyik marah-marah saja.
Oleh itu, ubat marah ialah sabar tetapi apabila hendak marah juga kita akan kata, sabar memang sabar tetapi ada hadnya. Itulah kita manusia yang sentiasa berdepan dugaan dan bagaimana kita menghadapinya yang membezakan kita dengan orang lain.

Hakikatnya, bukan mudah untuk membina sifat sabar dalam diri tetapi nilai murni itu boleh dipupuk jika kita sentiasa berlapang dada apabila berdepan dengan ujian dan tidak mudah berputus asa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan itu.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Berfikiran positif juga boleh membantu kita menyemai sifat sabar terutama apabila kita menyedari hakikat ujian yang didatangkan Allah adalah untuk mengukur sejauh mana keimanan kita kepada-Nya bukan saja melalui tindakan tetapi juga perkataan.

Semuanya itu menuntut kesabaran dan yang pasti dalamnya ada ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT dengan syarat kita reda serta ikhlas.

Lagi satu, lawan bagi sabar ialah mengeluh dan ia perbuatan yang amat dilarang kerana mengeluh membuatkan semangat menjadi lemah, terbitnya perasaan kecewa dan putus asa. Mengeluh juga boleh menyebabkan kita suka menyalahkan keadaan.

Saya pasti semua kita biasa mendengar nasihat bahawa Allah tidak mendatangkan ujian kepada hamba-Nya yang di luar kemampuan mereka. Maknanya, ujian yang datang sebenarnya mampu kita tanggung berbekalkan ketabahan serta kesabaran.

Jika diteliti, setiap kesukaran dihadapi selalunya diakhiri dengan kemudahan dan nikmat dirasakan apabila kita berjaya mengatasi segala kesusahan tidak dapat digambarkan atau diluahkan dengan kata-kata.

Berserta dengan nikmat itu juga selalunya akan hadir perasaan syukur yang mendekatkan lagi kita dengan Allah kerana apabila berdepan musibah, kuasa yang paling layak kita berpaling memohon pertolongan ialah Allah SWT.

Alangkah bangganya perasaan kita sebagai hamba apabila doa serta permohonan dimakbulkan Allah. Itu tanda kita termasuk dalam golongan yang dikasihi kerana permintaan kita dipenuhi.

Oleh itu, biar betapa besar dugaan, kesusahan atau kesakitan yang terpaksa kita tanggung, jangan mudah marah. Sebaliknya, cuba tangani dengan sabar serta berusaha mencari jalan keluar kerana janji Allah setiap kesukaran akan ada jalan keluarnya.

Malah, ada antaranya yang kita tidak pernah terduga. Jadi bagi yang kecewa kerana doa masih belum makbul, jangan putus asa. Perancangan Allah adil untuk hambanya. Jika bukan di dunia, hadiahnya menanti di akhirat nanti. Bersamalah kita berusaha mengawal marah dan menyemai sabar.


-Saya rumuskan drp artikel2 motivasi tertentu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget